Salam islah,
Dari masa kesemasa wabak H1N1 kian mengila; tidak terkecuali di negara kita. berita terbaru mengatakan bahawa terdapat 12 kes terbaru H1N1. Sekolah Tinggi Chung Hwa di Seremban ditutup mulai hari ini hingga 6 Julai ini apabila seorang pelajar perempuan tingkatan 3 sekolah terbabit dijangkiti virus Influenza H1N1 daripada adiknya. Sekolah berkenaan merupakan sekolah kelima yang ditutup untuk mengelakkan penyebaran virus tersebut.
Minggu lalu, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jalan Davidson, Kuala Lumpur dan SRK Assunta 1 dan 2 di Petaling Jaya serta Seri Cempaka International School di Cheras ditutup seminggu kerana penularan tempatan virus tersebut.
Dan seperti kebiasaannya, apabila tercetusnya sesuatu isu ianya akan mendapat perhatian yang meluas dari pihak atasan sehingga ke peringkat masyarakat.
Antara dialog yang biasa kita dengar ialah; " Tu la, islam dah cakap babi tu haram, tapi diorang dok degil nak makan jugak!. Nah! kan sekarang dah jadi bala kena wabak selesema babi. Tu Tuhan nak tunjuk le tu!.
Memang betul. Babi adalah binatang yang haram dimakan oleh orang islam seperti dalam surah Al - Baqarah ayat 173 yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang (yang ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (QS. 2:173)"
Anjing itu najis kerana di sebut dalam hadith :
"Apabila anjing menjilat mangkuk kamu, maka tumpahkanlah air yang di dalamnya dan basuhlah mangkuk itu 7 kali - riwayat Imam Muslim) dan banyak lagi hadith sahih yang bersangkutan dengannya".
Begitu juga membela anjing di dalam rumah, disebutkan di dalam hadith yang bererti :
"tidak masuk malaikat ke rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)".
Namun disebalik isu babi yang diharamkan Allah, kita seperti disihirkan sehingga kita semakin melupai satu isu yang berkaitan dengan haram juga, iaitu RASUAH.

Saya berasa tidak adil andai isu babi ini melebihi popularitinya daripada isu rasuah. Bila disebut isu babi ini, sudah pasti kaum cina akan menjadi sasaran. Pada pendapat saya, sepatutnya isu babi ni tidak perlu sehebat isu rasuah kerana masalah babi ni mungkin dapat diatasi jika terdapat satu akta yang mengawal segala yang berkaitan babi. Penternakannya, sistem kumbahan, pemprosesannya, pengimportannya dan yang berkaitan. Jika ini dapat dikawal, insyaallah kekalutan ini tidak berlaku ( mungkin ).
Yang menjadi masalahnya ialah rasuah. Bagi saya masalah rasuah lebih besar daripada masalah babi. Kerana rasuah ini kebiasaanya melibatkan individu yang mempunyai kuasa dalam membuat peraturan. Bila ini terjadi maka tidak hairanlah isu babi ini menjadi wabak, hasil daripada rasuah.
Rasuah juga merupakan perkara yang diharamkan oleh Allah firmannya yang maksud:
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)". (al-Baqarah: 188).
Dalam ayat yang lain, Allah s.w.t menyatakan yang mafhumnya;,
"Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya"... (al-Ma’idah: 42)
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran di atas, Allah melarang umat-Nya memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Perbuatan rasuah termasuk memakan harta dengan jalan yang salah itu. Ayat berikutnya pula menjelaskan sifat atau karakter orang Yahudi yang sentiasa mengagungkan kebatilan, pembohongan serta memakan rasuah.
Pengharaman rasuah juga disebut oleh Rasulullah s.a.w dengan hukuman laknat atau kutukan Allah dan Rasul-Nya. Antara hadis yang membincang tentang rasuah ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru, beliau berkata yang bermaksud, bersabda Rasulullah, Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah. (riwayat Ibnu Majah) .
Ancaman terhadap rasuah ini bukan sahaja ditujukan kepada pemberi dan penerimanya, malahan juga kepada orang tengah atau pengantara perbuatan rasuah tersebut. Hal ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Tsauban r.a katanya, Rasulullah s.a.w melaknat pemberi rasuah, penerima dan pengantara iaitu yang menjadi penghubung antara keduanya. (riwayat Imam Ahmad).
Mereka yang terlibat dengan perbuatan rasuah itu selain daripada mendapat laknat Allah dan Rasul-Nya, mereka juga akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak, sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a. yang bermaksud, Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka. (riwayat al-Tabrani).
Sehubungan dengan itu saya menyeru kepada ahli - ahli yang di beri amanah untuk mentadbir alam ini supaya menunaikan amanah yang Allah berikan kepada ahli - ahli supaya ahli - ahli tidak akan menjadi hina di hadapan Allah kelak.